Sunday, September 5, 2010


HARAPAN RAMADHAN...

Assalamu’alaikum warahmatullah...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allahu Subhanahu Wa Ta’ala di atas segala kurniaanNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, tabi’in dan setiap nadi umat manusia yang menggerakkan risalah Islam sejak dari Nabi Adam a.s. hinggalah ke Hari Qiamat.

Alhamdulillah, marilah kita merafa’kan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi kerana kita sekarang berada di bulan Ramadhan. Satu bulan yang begitu istimewa bagi umat Islam. Di dalam bulan inilah wahyu pertama diturunkan kepada baginda Nabi s.a.w. Di bulan ini juga diwajibkan ke atas umat Islam untuk berpuasa sebulan.

Firman Allahu Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa itu telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa.

(Surah Al-Baqarah : 183)

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

(Surah Al-Baqarah : 185)

Jika kita menghitung hadis-hadis berkenaan fadhilat bulan Ramadhan amatlah banyak dan kita akan mendapati betapa besarnya kelebihan yang ada di dalam bulan ini. Besarnya limpah rahmat Allah Ta’ala kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. di bulan ini yang tiada pada umat nabi-nabi terdahulu. Di dalamnya terdapat Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan. Amatlah rugi bagi sesiapa yang tidak menggunakan peluang yang ada di bulan ini untuk melipatgandakan amal ibadatnya.

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memberi berita gembira kepada para sahabatnya dengan sabdanya, “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu berpuasa padanya; pada bulan ini pintu-pintu Surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa’.”

(HR. Imam Ahmad dan An-Nasa’i)

Sesiapa yang berpuasa semata-mata kerana Allah dan menjaga puasanya, Allah menjanjikan pengampunan bagi dirinya dari segala dosa yang telah berlalu. Seperti mana yang disebut dalam sebuah hadis, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka Allah mengampuni dosanya yang telah lalu”.

(HR. Al-Bukhari dan Muslim).

Puasa tidak terhingga pahalanya, kerana orang yang berpuasa akan mendapatkan pahala yang tidak terhingga. Setiap Muslim amalannya akan diganda sebanyak 10 hingga 700 kali ganda, kecuali puasa. Ganjaran pahala puasa tidak terhingga di sisi Allah mengikut kesempurnaan ibadat puasa kita. Firman Allah di dalam hadis qudsi:

“…Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, ia menahan nafsu dan makan keranaKu.”

(HR. Muslim)

Namun, bukanlah pahala Ramadhan yang kita cari, tetapi redha Allah yang kita impikan. Ganjaran-ganjaran besar yang dijanjikan oleh Ilahi ini diharap dapat memberikan motivasi kepada kita untuk terus bersemangat dalam mengerjakan ibadat, ibarat ber’pesta’. Pesta ibadat.


Saya hairan dengan fenomena yang kurang elok yang melanda masyarakat Islam pada hari ini. Apabila tibanya Ramadhan, masjid dan surau penuh dengan jamaah Muslimin. Sedangkan bulan-bulan lain, sesetengah masjid satu saf pun tidak penuh. Ramai yang berqiamullail dan bertadarrus di masjid dalam bulan ini. Malah, hebatnya masyarakat kita di bulan ini, mampu mengkhatamkan Al-Quran dalam masa sebulan. Sedangkan mungkin ada yang tidak dapat mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh masa 11 bulan selepas Ramadhan.
Falsafah fardhu Ramadhan ini ialah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“...mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah : 183)


Tetapi, kita lihat dalam masyarakat kita, perubahan yang dilakukan hanyalah dalam bulan Ramadhan dan berubah setelah berlalunya Ramadhan. Maka, ini dilihat bercanggah dengan falfasah puasa Ramadhan yang sepatutnya melahirkan insan yang bertaqwa. Memanglah kita berasa lebih bersemangat untuk beribadat di bulan yang penuh barakah ini, tetapi kenapa tiada nilai istiqamah dalam diri kita. Sepatutnya ‘madrasah’ Ramadhan ini lebih menguatkan keimanan dan ketekunan kita dalam beribadat tahun demi tahun.

Buat terakhirnya,marilah kita masuk sebentar ke dalam diri dan jenguk sebentar hati kita.Apa khabarkah hati kita?sihatkah dia?..Seterusnya kita jenguk,bagaimana dengan puasa kita sepanjang ramadhan ini?Adakah kita gembira ramadhan akan pergi meninggalkan kita atau kita sedih ramadhan akan meninggalkan kita??jawapannya hanya kita yg tahu..

"TEPUK DADA TANYA IMAN"

WALLAHU A'LAM...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...