Wednesday, July 13, 2011

Catatan Diari Lawatan Antarabangsa Jejak Islam di Batam Indonesia












Assalamualaikumwarahmatullahiwabarokatuh..
Segala puji bagi Allah s.w.t,kita memujinya, meminta pertolongan dan memohon pengampunan padaNya dan kita berlindung kepada Allah dari keburukan diri dan kejahatan amal perbuatan kita. Siapa yang diberi petunjuk tidak akan ada yang menyesatkan dan siapa yang disesatkan olehNya tidak akan ada pula yang dapat memberi hidayah..
Bersyukur kehadrat Ilahi setelah bersusah payah untuk menguruskan gerak kerja lawatan antarabangsa Ekspedisi Jejak Islam di Batam, Indonesia, akhirnya berakhir dengan jayanya. Sungguh setiap apa yang diimpikan akan berhasil jika kita benar bersungguh-sungguh berusaha mendapatkannya. Terima kasih kepada Dr. Adanan Mat Junoh dan En. Rosli serta Mas Yassin yang banyak membantu kami.
Di sini penulis ingin mencatatkan memori-memori indah sepanjang lawatan di bumi Indonesia.
Kami memilih Batam, Indonesia sebagai tempat destinasi menjejaki warisan Islam yang ada di bumi Batam ini. Sungguh! bumi Batam ini amat berdekatan dengan negara Malaysia kerana jika menaiki feri mengambil masa kira-kira satu jam setengah sahaja dari terminal Stulang Laut,Johor. Lawatan kami disertai seramai 17 orang mahasiswa dan mahasisiswi pengajian Da’wah dan Pengurusan Islam tahun 2.

Hari Pertama.5 Mei 2011. Kami bertolak dari USIM pada jam 11.00 malam dan terus ke terminal Stulang Laut, Johor untuk mengambil tiket feri yang sudah ditempah. Kini baru penulis tahu bahawa berdekatan tempat itu terdapat kelab-kelab malam untuk hiburan para pemuda-pemudi. Kini penulis dapat mengetahui serba sedikit realiti kehidupan yang mana hanya didengari di media elektronik dan media cetak mengenai gejala sosial yang semakin parah di kalangan remaja.

Hari kedua.6 Mei 2011. Setelah menguruskan tiket dan pasport, kami mula berangkat dari terminal Stulang Laut, Johor ke Terminal Batam Centre. Perasaan kami bercampur baur apabila impian kami menjejaki bumi Batam akan menjadi realiti sebentar lagi. Sepanjang di dalam feri penulis sangat teruja melihat keindahan Sang Pencipta. Sungguh indah pemandangan laut dari atas feri . Kami memintal buih-buih lautan yang memisahkan Malaysia dan Indonesia. Apabila kami lewati perairan Singapura, feri yang kami naiki bergerak dengan perlahan kerana polisi kerajaan Singapura sendiri yang telah mengehadkan kelajuan jika melewati kawasan mereka. Penulis dapati kerajaan Singapura amat prihatin terhadap alam sekitar. Mereka telah memagar sepanjang kawasan perairan laut mereka supaya tidak dicerobohi dan dicemari.
Setibanya di Terminal Batam Centre, kami di sambut dengan pemandu pelancong kami Mas Yassin namanya. Dia terus membawa kami ke tempat penginapan kami di Pusat Informasi Haji yang berdekatan dengan terminal tersebut. Sungguh teruja apabila penulis mendapat tahu ianya adalah hotel yang seratus peratusnya mengikut syariah Islam. Hotel ini tidak tersedia minuman keras, tidak membenarkan lelaki bukan mahram naik ke bilik , hanya untuk suami isteri biarpun ia non muslim. Alangkah bagusnya kalau di Malaysia banyak terdapat hotel-hotel sebegini. Sungguh meyakinkan bagi masyarakat Islam khususnya.
Kami diberi masa untuk check in hotel dan bersiap sedia untuk ke Pantri Asuhan Yayasan Darul Aitam Batam. Pantri ini telah di bina semenjak tahun 2003 atas usaha persendirian yang menempatkan seramai 33 orang anak yatim dalam lingkungan umur 1 thn hingga 18 thn. Anak-anak yatim ini ditempatkan di dalam satu bangunan 2 tingkat dan yang hanya memisahkan mereka hanya tingkat atas dan tingkat bawah. Terpancar wajah-wajah ceria mereka menyambut kedatangan kami yang memerlukan bantuan bukan sahaja dari segi makanan, pakaian, tempat kediaman malah yang lebih utama ialah kasih sayang. Bersyukurnya kita jika masih mempunyai orang tua. Kami kagum dengan kecekalan para pembantu di pantri asuhan ini kerana ketahuilah ini usaha yang luar biasa yang tidak semua orang sanggup menempuhnya. Kami beramah mesra dengan mereka saambil memberi sumbangan yang tidak seberapa. Penulis terkesan akan cerita mengenai seorang pelajar di pantri ini yang hampir di bunuh kerana kepentingan peribadi ibunya. Sungguh menyanyat hati apabila seorang ibu yang sudah terlanjur dan membuat maksiat sanggup membunuh anaknya sendiri yang luar nikah itu. Mujur anak ini dapat diselamatkan oleh pihak yayasan kerana sanggup mengambil anak kecil ini. Bezanya keadaan di Malaysia kalau tidak salah ialah kerajaan yang membantu pembangunan pusat-pusat anak yatim seperti ini.

Hari Ketiga. 7 Mei 2011.Alhamdulillah, kami terus bersemangat menjejaki Islam di bumi Batam. Kami sangat terharu kerana diberi kepercayaan untuk ke udara secara lintas langsung di Radio Serumpun f.m iaitu salah satu radio swasta di Batam. Wakil yang telah ke udara untuk menerangkan tujuan penjelajahan kami di bumi Batam ini adalah mentor kami Dr Adanan dan En. Rosli serta Nur Azimah. Kami sangat teruja kerana warga Batam menyambut baik delegasi lawatan antarabangsa kali ini. Namun ada saranan di waktu sesi soal jawab oleh seorang warga batam supaya lawatan kami dilanjutkan ke bahagian Kepulauan Riau Lingggi yang mempunyai khazanah Islam yang asli. Saranan tersebut telah di sambut baik oleh Dr. Adanan.
Selepas wakil delegasi kami ke udara di Radio Batam iaitu Serumpun FM 91.7 (on air) kami berangkat ke Lembaga Management Zakat, Infaq dan Sadoqah Al-Kahfi . Di sana kami pelajari cara mereka menguruskan harta umat Islam di Batam. Kami dapat makluman bahawa masyarakat di Batam ini kebanyakannya adalah pendatang dan mereka membina pusat zakat ini khusus untuk membantu umat Islam di kawasan ini. Kesusahan mereka terpancar apabila di ceritakan mereka pernah membawa dua mayat dalam satu van akibat kekangan kenderaan. Namun semangat membantu umat Islam dan menyedari betapa pentingnya amalan fardhu kifayah menjadikan mereka sangat kuat sehingga segala urusan pengkebumian jenazah diuruskan oleh mereka sendiri. Antara saranan mereka kepada kami ialah tunaikan amanah sesuai dengan sunnah.Menjelang petang kami telah ke Lembaga Adat Melayu. Di sana kami lewati bangunan baru yang di bina dengan kerjasama pemerintah di sana kerana sebelum ini lembaga Adat Melayu ini juga terbina oleh pihak persendirian iaitu swasta. Walaupun terdapat masalah pengurusan untuk melawat tempat ini, kami tetap disambut dengan ceria oleh Pengarah Lembaga ini dan Dato’-Dato’ juga turut hadir. Kami diberi penerangan serba ringkas dan mempunyai maksud yang amat mendalam. Ya! Sungguh,terpisahnya Melayu di kota Batam dan Melayu di Malaysia ialah dasar penjajah. Penjajahlah yang memisahkan kita. Lawatan di Lembaga Adat Melayu telah memberi seribu satu kenangan dan menyuntik semangat para peserta lawatan untuk lebih giat membangunkan Islam supaya tidak terjadi seperti Melayu Singapura kerana Melayu di dapat tidak dia juga adalah beragama Islam.Penulis juga terkesan tentang salah faham masyarakat mengenai syarat-syarat lelaki yang dapat mencium bau syurga. Beliau juga menyarankan kepada kami supaya tidak memanggil negara Indonesia dengan panggilan “INDON” kerana ia amat sensitif yang mempunyai kaitan dengan sirah Hindon yang memakan hati Saidina Hamzah pada zaman Rasulullah SAW.
Hari keempat.8 Mei 2011. Kami tidak dapat melawat ke tempat yang ditetapkan kerana hari tersebut adalah cuti umum. Kesempatan ini kami di bawa menyelusuri pantai pulau Batam. Indah khabar dari rupa. Kebanyakan pantai telah dibangunkan resort yang dipelapori oleh orang beragama Buddha. Ini kerana kami dapati terdapat patung Buddha yang sangat besar di lereng-lereng bukit. Selain itu, kami juga singgah di Pantai Sekupang dan apa yang mengejutkan kami apabila berada di sana ialah pengajian Bible sedang dijalankan di tepi pantai. Sangat bijak pendakwah Kristian ini giat menyebarkan dakwah mereka. Moga ia dapat di tiru oleh para pendakwah Islam juga. Kawasan pesisir pantai mereka tidaklah begitu cantik berbanding dengan di Malaysia. Dr. Adanan memberitahu kami bahawa mengikut teori Moslow yang mempunyai lima tingkatan, antara sebab pantai mereka sebegitu ialah kerana ada keperluan lain yang lebih penting untuk mereka penuhi dan ia berlainan dengan negara maju seperti Malaysia dan Singapura.
Pada hari kelima pula,9 Mei 2011. kami telah melawat ke Pusat Dakwah Muhammadiyah ASEAN di Batam. Untuk pengetahuan Pusat ini mempunyai banyak cawangan di serata Indonesia. Pusat ini digelar Muhammadiyah yang bererti pengikut junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Tempat tersebut di kelilingi sekolah dan antara fokus pusat dakwah ini adalah memperkasakan ilmu di kalangan anak bangsa sendiri. Kami sungguh terharu kerana presiden pusat dakwah tersebut sanggup menyambut kami walau keadaannya tidak mengizinkan kerana mengalami sakit gout. Untuk makluman, Pusat ini juga telah menubuhkan Maahad Said Bin Zaid. Kami berpeluang berkunjung ke Maahad ini tetapi kurang bernasib baik kerana pelajar-pelajar di sana sedang bercuti. Maahad tersebut menyediakan Program Bahasa Arab, Pengajian Islam dan Program Tahfizh Al-Quran. Pengajar Maahad ini adalah lulusan tinggi terkemuka di Timur Tengah dan Indonesia sendiri sehingga dapat menghasilkan suasana yang kondusif bagi mahasiswa dalam penguasaan bahasa arab itu sendiri. Kami amat tertarik dengan usaha pihak ini kerana terbinanya Maahad ini adalah juga sumbangan dari dermawan Dubai. Maahad ini menyediakan program praktikal di desa-desa terpencil di pelosok nusantara selama tiga bulan bagi melahirkan para daie yang benar-benar ditugaskan untuk menyambung warisan Islam di sana. Pengajaran hasil drpd kunjungan Pusat Dakwah Muhamadiah adalah banyak sekali orang Islam menukar agama kerana indomee. Sewajarnya AKIDAH tidak boleh dijual beli dengan apa pun. Bak kata En. Rosli bahawa ada antara keluarga yang hidup di pedalaman menukar agama mereka kerana mahukan keperluan harian dan makanan. Sungguh menyanyat hati kerana missionary fokus kepada masyarakat Islam yang kurang pegangan agama dan hidup dalam kemiskinan yang akhirnya memaksa mereka berbuat demikian.
Seterusnya petang hari, kami telah berkunjung ke Universitas Batam, Indonesia yang mana telah dibina oleh Yayasan Griya Husada dan diberi nama awalnya ialah Abulyatama. Universiti ini didirikan pada 30 Mei 2000 dan mempunyai empat fakulti iaitu fakulti Hukum, Teknik, Ekonomi dan Kesihatan. Perbincangan kami lebih menjurus kepada pertukaran maklumat antara USIM dan UNIBA serta mereka sungguh kagum kerana mendapat tahu bahawa pelajar-pelajar di Malaysia berpeluang menimba ilmu dengan pinjaman PTPTN manakala pelajar-pelajar mereka di sana hanya diberi biasiswa dan untuk keluarga yang mampu membiayai pengajian sahaja.

Hari keenam.10 Mei 2011. Kami berpeluang menelusuri kepulauan Riau dan melihat sendiri mercu tanda di Pulau Batam iaitu Jambatan Berelang yang menghubungkan pulau-pulau di Batam. Untuk pengetahuan proses pembinaan jambatan ini telah diimport khas teknologi dari Jerman. Delegasi Lawatan Antarabangsa Jejak Islam di Batam kali ini merasa agak rugi kerana tidak dapat berkunjung dan berdiskusi dengan Walikota di Batam ini kerana telah kami dibatalkan pada saat-saat akhir. Ingin sekali kami bertanya bahawa sejauhmana perkembangan Islam di bumi Batam ini walaupun kami dapat tahu bahawa masyarakat Islam di bumi Batam ini peratusannya menurun lebih kurang dari 90% ke 70%. Banyaknya kerja kita semua untuk fahamkan umat ini dengan Islam yang lebih luas. Semoga semangat beramal untuk Islam itu akan menjadi lebih luas kerana fahaman Islam mereka yang lebih luas.

Hari ketujuh.11 Mei 2011. Setelah seminggu berada di bumi Batam Indonesia, tibalah masa untuk pulang ke Malaysia. Seperti hari-hari biasa sepanjang di bumi Batam, kami keluar seawal 5.30 pg waktu Indonesia untuk beriadah . Hari terakhir itu kami rasakan semacam hari pertama kami jejakkan kaki di bumi Batam. Semestinya menyimpan kenangan manis yang tidak dapat kami lupakan. Kami menaiki feri dari Batam Centre ke Stulang Laut, Johor Bahru pada pukul 11.00 pg dengan membawa lebihan beg yang sudah beranak pinak. Alhamdulillah kami tiba di USIM pada jam 7.00 petang.
Moga lawatan ini dapat memotivasikan para peserta supaya lebih maju dan cemerlang serta menjadi insan pembela agama di kemudian hari. Moga ceramah motivasi dari Dr. Adanan Mat Junoh dapat membakar semangat kita supaya terus menggapai cita-cita walau pernah kecundang di tengah jalan. Antara saranan Dr. Adanan ialah “ jangan tanya dari mana kita datang tetapi tanya ke mana kita nak pergi”. Serta kata-kata dari wakil Lembaga Adat Melayu iaitu senantisalah menjadi orang yang “lapar” iaitu sentiasa mahu berusaha dan senantiasa menjadi orang yang “bodoh” iaitu sentiasa mahu belajar dan menuntut ilmu. Akhir kata daripada penulis, Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Ankabut: 21)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...